'Kongsi-kongsi' pejabat
SEWAKTU masih menuntut di universiti, semangat menjadi ‘bos’ sendiri membara di hati Encik Fazli Mansor (gambar atas).
Tetapi, beliau akur kesukaran menyewa ruang pejabat sendiri kerana kos sewa yang tinggi bagi menjalankan perniagaannya, Islamicevents.sg.
Lantaran itu, lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang kejuruteraan komputer itu memutuskan untuk mengongsi pejabat dengan beberapa usahatekwan lain di ruang pejabat yang dikongsi bersama (co-working space) di Hackerspace Sg yang terletak di King George’s Avenue berdekatan Lavender.
Mengongsi pejabat menjadi trend terbaru dalam kalangan para peniaga yang tidak mahu terikat dengan kos sewa yang tinggi.
Dalam ekonomi ‘gig’ yang menawarkan lebih banyak ruang kerja yang fleksibel, permintaan bagi ruang pejabat dikongsi bersama telah meningkat dari 66 pada 2014 kepada 120 tahun lalu, menurut firma khidmat hartanah Cushman & Wakefield.
“Harga sewa ruang pejabat dikongsi bersama peniaga lain adalah 10 kali lebih rendah dari harga sewa jika seseorang itu mendapatkan pejabat sendiri. Menjalankan perniagaan bersama peniaga lain juga memberi suntikan semangat untuk kita majukan perniagaan itu lagi. Tidaklah bosan jika kita jalankan perniagaan di rumah,” ujar Encik Fazli, 35 tahun.
Pengasas bersama Islamicevents.sg itu yang membentuk syarikat itu bersama rakan kongsinya, Encik Fadzuli Wahab, menyediakan teknologi dalam talian bagi menyelaras kegiatan-kegiatan Islam.
Setelah perniagaan itu mantap dan stabil, barulah beliau menyewa pejabat sendiri yang terletak di Ubi ketika ini.