Suntik semangat apabila bersama usahatekwan lain
APABILA Encik Fazli Mansor baru memulakan perniagaan Islamicevents.sg, beliau memilih menggunakan ruang pejabat bersama, Hackerspace Sg, yang dikhususkan bagi firma teknologi.
Kemudahan itu bukan saja menjimatkan kos bagi peniaga baru itu malah menyuntik semangat apabila bertemu dengan rakan usahatekwan lain yang berkumpul di ruang pejabat bersama itu yang terletak di 344B di King George’s Avenue.
“Bagi peniaga baru, ruang pejabat bersama merupakan ruang yang ideal daripada menjalankan perniagaan di rumah. Di rumah, kita perlu mempunyai disiplin tinggi bagi menjalankan perniagaan. Tetapi, apabila menyewa di ruang pejabat bersama lebih-lebih lagi yang disewa oleh usahatekwan lagi, kita menjadi lebih bersemangat dan mempunyai motivasi tinggi kerana kita boleh bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman,” kata Encik Fazli, 35 tahun.
Beliau memulakan perniagaan itu semasa masih lagi menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang kejuruteraan komputer.
Islamicevents.sg dibentuk bersama rakan kongsinya, Encik Fadzuli Wahab, bagi menyediakan teknologi dalam talian bagi menyelaras kegiatan-kegiatan Islam.
Dari segi kos sewa, harganya juga lebih dimampui kerana Hackerspace Sg mengenakan harga $128 sebulan bagi kemudahan seperti meja, WiFi, elektrik dan mesin pencetak.
“Kos sewa itu 10 kali lebih rendah berbanding jika kita mendapatkan pejabat sendiri yang boleh menelan harga melebihi $1,000. Ia amat baik bagi usahatekwan baru,” ujar Encik Fazli.
Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan di Hackerspace Sg dan Islamicevents.sg mula stabil, syarikat itu mula menyewa ruang pejabat sendiri di Bussorah Street.
Kini, selain menjalankan perniagaannya di Ubi, Encik Fazli juga membantu menguruskan Hackerspace Sg selaku bendahari.
Menurutnya, ruang pejabat bersama itu mempunyai 40 anggota yang menyewa ruang serta menjalankan acara di tempat itu.
Mereka termasuk pembangun teknologi yang mempunyai tugas tetap tetapi mempunyai aspirasi mencipta aplikasi mereka sendiri.
“Kami akan mengadakan sesi perkongsian serta kegiatan riadah lain seperti malam menonton filem atau bermain game demi meningkatkan jaringan hubungan antara anggota,” tambahnya.
“Bagi peniaga baru, ruang pejabat bersama merupakan ruang yang ideal daripada menjalankan perniagaan di rumah. Di rumah, kita perlu mempunyai disiplin tinggi bagi menjalankan perniagaan. Tetapi, apabila menyewa di ruang pejabat bersama lebih-lebih lagi yang disewa oleh usahatekwan lagi, kita menjadi lebih bersemangat dan mempunyai motivasi tinggi kerana kita boleh bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman.” – Encik Fazli Mansor.